Tarian Labi-labi dikatakan berasal
dari Endau, Rompin dan kemudiannya berkembang ke daerah Pekan dan Kuantan.
Bahkan hingga ke hari ini, Tarian Labi-labi merupakan salah satu tarian etnik
yang popular dikalangan kumpulan-kumpulan tarian di Negeri Pahang walaupun
beberapa pergerakan telah diolah untuk disesuaikan dengan masa dan penonton.
Sejarah Tarian Labi-labi bermula daripada
kisah seorang pengail bernama Pak Ngah. Pada satu hari, Pak Ngah pergi mengail
disungai tetapi tidak mendapat seekor ikan pun walaupun umpannya habis. Kemudian,
Pak Ngah menggunakan pisang sebagai umpan dan telah menarik perhatian
sekumpulan labi-labi. Pergerakan labi-labi yang cuba memakan umpan pisang ini
telah memberi idea kepada Pak Ngah untuk membentuk kumpulan Tarian Labi-labi.
Berdasarkan tarian asal, terdapat
hanya dua orang penari sahaja iaitu watak Pak Ngah dan labi-labi jantan. Namun,
watak Mak Ngah dan beberapa ekor labi-labi telah ditambah sesuai dengan
perubahan dan kreativiti koreografer. Kostum dalam tarian ini berbentuk
labi-labi yang dipasang di atas belakang penari. Watak Mak Ngah pula memakai baju kebaya lengan
panjang dengan kain sarung atau batik manakala, Pak Ngah memakai terendak atau
kain ikat kepala dan memegang sebatang kail.
Alat muzik yang digunakan untuk mengiringi
Tarian Labi-labi pada awalnya hanya tetawak dan biola sahaja. Namun, sejajar
dengan perkembangan semasa, alat muzik seperti genduk, gedombak, gendang dan
serunai telah ditambah bagi memeriahkan lagi persembahan.